Enam maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September 2023. Foto Facebook Balai Bomba & Penyelamat Segamat
AGENDAJENAYAH

Lori pasir hilang kawalan dipercayai punca kemalangan enam sekeluarga maut

SEGAMAT, 2 SEPT: Kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut dan dua parah di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, petang semalam dipercayai berpunca daripada sebuah lori pasir hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata kemalangan yang berlaku jam 6.37 petang berhampiran loji Petronas itu membabitkan lima kenderaan termasuk lori membawa muatan pasir.

Beliau berkata, mereka yang maut akibat parah di kepala ialah pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46; isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43; anaknya Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Katanya, seorang lagi anak Amir Ruddin yang juga penumpang kereta sama, Abdullah, 15, dan pemandu lori sedang dirawat di Hospital Segamat akibat parah di dada dan badan, lapor Berita Harian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda HRV yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat memperlahankan kenderaannya kerana di hadapannya terdapat kerja pembaikan jalan raya.

“Ketika itu, sebuah lori membawa muatan pasir yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala Segamat dipercayai gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HRV terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti.

“Lori pasir itu kemudian memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza dinaiki enam sekeluarga itu yang menyebabkan mangsa maut,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, semua jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk tindakan susulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, polis turut meminta kerjasama saksi yang mempunyai maklumat kejadian itu menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) menerusi talian 07-9325811 atau balai polis berhampiran.

 


Pengarang :