EXCO Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah merasmikan Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Banting. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 1,000 pengunjung meriahkan festival seni, budaya Orang Asli

KUALA LANGAT, 3 SEPT: Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri@ Selangor bertempat di pekarangan Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung.

Festival itu menampilkan keunikan seni lima kampung iaitu Kampung Orang Asli (KOA) Kepau Laut, KOA Sungai Rambai, KOA Sungai Kurau, KOA Sungai Bumbun dan KOA Sungai Judah.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah ketika merasmikan program tersebut berkata ia antara usaha mengetengahkan seni dan budaya Orang Asli Mah Meri di negeri ini.

“Menerusi festival ini, masyarakat dan pelancong luar boleh mengenali dan memahami secara terperinci tentang Orang Asli Mah Meri.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan selain ketengah seni dan budaya Orang Asli ia juga usaha membawa pelancong ke Selangor,” katanya ditemui selepas merasmikan festival tersebut.

EXCO Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berucap ketika Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Banting. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu, Borhan juga melawat mural gergasi Mah Meri dilukis Shaq Koyok dan muzium yang mempamerkan pelbagai koleksi dan sejarah kaum tersebut.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM9.67 juta setakat 19 Ogos lalu.

“Jumlah kelulusan itu adalah bagi 127 permohonan di bawah Jawatankuasa Panel Pelulus Geran Sokongan Sektor Kebudayaan.

“Bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini terus kekal berdaya saing dan diperkasa, Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK 2023) MOTAC diteruskan selari dengan matlamat dan nilai teras Madani,” ucapnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Mohd Zamri Mat Zain.

EXCO Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah bergambar bersama penari Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Banting. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :