ADN Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei (tengah) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bandar Baru Klang yang diadakan di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah pada 03 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Rakyat ambil peluang salur aduan kepada pemimpin ketika program jualan murah

Oleh JULIANA JOHAR

KLANG, 3 SEPT: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah di sini memberi peluang Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei mendekati masyarakat.

Ketika meninjau jualan murah itu Dr Quah menerima beberapa aduan daripada masyarakat secara bersemuka.

“Ketika turun ke sini, saya terima aduan masyarakat antaranya mengenai banjir serta longkang tersumbat dan kita akan segera mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah ini,” katanya kepada Selangorkini.

Teruja melihat sambutan penduduk di JER, Dr Quah turut mengedarkan ratusan bendera kepada pengunjung bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan yang diraikan sehingga Hari Malaysia, 16 September.

“Saya lihat setiap kali JER diadakan di mana-mana DUN Klang, ia sentiasa mendapat sambutan. Setakat ini sudah lebih 20 kali dijalankan di kawasan sekitar dan jumlah pengunjung semakin bertambah.

“Ini merupakan satu inisiatif daripada Kerajaan Negeri yang ternyata sangat membantu rakyat Selangor bagi menjimatkan kos sara hidup,” katanya.

JER menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran bagi membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.


Pengarang :