Orang ramai yang hadir pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Bandar Baru Klang di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah pada 03 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

600 serbu JER meski jualan terhad kepada 300 pengunjung terawal

Oleh JULIANA JOHAR

KLANG, 3 SEPT: Lebih 600 pengunjung menyerbu Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang hari ini walaupun nombor giliran yang diagih hanya terhad kepada 300 individu terawal.

Penyelia Unit Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata ada penduduk beratur seawal jam 7 pagi biar pun program bermula 10 pagi di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar.

Penyelia Unit Jualan PKPS Muhammad Nazif Zulkifli

“Ramai juga yang berasa kecewa bila nombor dah habis tapi kami awal-awal sudah maklumkan pada mereka agar tidak ada yang perlu berbaris lama.

“Insya-Allah di masa akan datang, PKPS mungkin akan lebihkan lagi banyak stok jualan agar lebih ramai penduduk dapat peluang membeli di JER,” kata Muhammad Nazif Zulkifli.

Kesemua barangan asas seperti 500 ekor ayam, 300 kampit beras, 200 papan telur, minyak masak 72 botol, 200 pek ikan kembung, cencaru, sardin dan kerapu habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Selain lokasi JER yang akan dikemas kini pada setiap hari, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan asas itu menerusi kiosk PKPS di Meru dan Wisma PKPS Shah Alam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :