Beberapa buah lori Jabatan Imigresen Malaysia membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya dilihat meninggalkan Depot Tahanan Sementara Relau Bandar Baharu dipercayai untuk dipindahkan ke depot tahanan lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

36 pendatang diseludup dengan bas ekspres, ditahan di TBS

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Jabatan Imigresen menahan 36 pendatang tanpa izin yang cuba diseludup masuk ke Malaysia menggunakan bas ekspres.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua pendatang, yang terdiri daripada 32 lelaki dan empat wanita, ditahan dalam operasi khas pada 4.30 petang 30 Ogos lalu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Beliau berkata pasukan operasi berjaya mengesan tiga bas ekspres membawa kesemua warga asing, yang menaiki kenderaan terbabit dari Stesen Bas Ekspres Kota Bharu, Kelantan di Lebuhraya Pantai Timur dan mengekorinya hingga ke TBS.

“Hasil pemeriksaan sebaik kesemua penumpang turun dari bas telah mengesan dan membawa kepada penahanan 20 lelaki Bangladesh serta 12 lelaki dan empat wanita Myanmar berumur antara 19 hingga 45 tahun.

“Semakan lanjut mendapati tiada cap keselamatan sah di dalam pasport mereka dan terdapat juga pendatang tanpa izin tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri sah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata semakan turut dibuat melalui sistem Imigresen dan pihaknya mengesan pendatang tanpa izin yang memiliki rekod senarai hitam berdasarkan kesalahan lampau.

Beliau berkata modus operandi sindiket ialah membawa pendatang tanpa izin ke Malaysia dari negara asal melalui negara jiran dengan menyeludup masuk melalui laluan haram.

Pendatang tanpa izin terbabit akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja secara tidak sah dengan menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bayaran yang dikenakan bagi setiap pendatang tanpa izin untuk masuk ke negara ini oleh pihak sindiket adalah sebanyak RM10,000.

“Kesemua pendatang tanpa izin disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan mereka ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :