Orang ramai hadir pada program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua yang di Padang Awam Batu Caves pada 4 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

JER: Pengunjung beratur seawal 6.30 pagi untuk dapat nombor giliran

Oleh JULIANA JOHAR

GOMBAK, 4 SEPT: Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri terus mendapat sambutan apabila orang ramai beratur seawal 6.30 pagi untuk mengambil nombor giliran meskipun program hanya bermula 10 pagi.

Penyelia unit jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Padang Awam Batu Caves itu menyediakan 400 nombor giliran sahaja, bergantung kepada bekalan barangan.

Penyelia Unit PKPS Muhammad Nazif Zulkifli. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Seawal jam 6.30 pagi saya sampai tengok ramai pengunjung sudah berbaris. Belum sampai pukul 7, 100 nombor giliran sudah habis diberikan.

“Kami terpaksa hadkan setiap seorang pembeli membeli satu unit untuk setiap jenis barangan sahaja.

“Hari ini juga ada jualan sayur kangkung, peria, cili api dan buah naga, semuanya hasil tanaman dari Selangor Fruit Valley,” kata Muhammad Nazif Zulkifli.

Nurul Hasfiah Sarami. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, pengunjung Nurul Hasfiah Sarami, 36, berkata sudah lama dia tidak membeli barangan keperluan di pasar sebaliknya hanya tertumpu di JER sahaja.

“Saya sudah lebih 10 kali datang JER. Setiap minggu saya semak lokasi jualan di Facebook PKPS…. dapat juga jimat hingga RM 200 sebulan untuk stok makanan kami sembilan sekeluarga,” katanya.

Chandran Aunjapah. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pesara, Chandran Aunjapah, 70, pula berkata dia sanggup datang awal pagi bagi mendapatkan nombor giliran agar dapat jimat berbelanja di JER.

“Setiap kali beli, memang saya dapat berjimat.. hari ini saya hanya berbelanja RM55, dapat penuh satu plastik,” katanya.

Hew Yun Rui. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Harga yang murah menjadi antara tarikan utama buat Hew Yun Rui, 70, membeli barang di JER dan dia bersyukur masih mendapat nombor giliran pada hari ini.

“Saya datang jam 8 pagi, tengok sudah ramai orang beratur, nasib baik masih dapat nombor giliran. Saya hanya membawa RM50 dan itu pun masih ada baki lagi sebab saya hanya belanja RM36 untuk ayam, beras dan ikan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai hadir pada program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua yang di Padang Awam Batu Caves pada 4 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :