EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) ketika Sesi Penerangan Program Latihan Pembangunan Usahawaan PLATS (U-PLATS) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri, persatuan perhalusi penyertaan sukan tambahan SUKMA 2024

SHAH ALAM, 4 SEPT: Empat persatuan sukan akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri berhubung kesediaan bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata melalui pertemuan itu persatuan tinju, muay thai, petanque dan e-sukan negeri akan memberi penerangan terperinci mengenai penyertaan dalam Sukma 2024 di Sarawak.

“Empat sukan tambahan ini baharu diumumkan dan mengambil masa untuk sesi taklimat, persiapan. Kita akan adakan pertemuan dahulu dan lihat perancangan selanjutnya.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap ketika Sesi Penerangan Program Latihan Pembangunan Usahawaan PLATS (U-PLATS) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Namun, bagi sukan lain Kontinjen Selangor telah mulakan persiapan dan sasar tempat teratas. Kita berharap dapat ulang kejayaan sekali lagi iaitu muncul juara SUKMA pada 2016 yang berlangsung di Sarawak ketika itu,” katanya.

Mac lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mempengerusikan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memaklumkan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah SUKMA 2024.

Pemilihan Sarawak bagi penganjuran SUKMA tahun depan adalah berpandukan sistem penggiliran, manakala bagi SUKMA 2026 akan dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kelantan pula selaku tuan rumah pada SUKMA 2028.

Sebanyak 28 jenis sukan wajib dipertandingkan bermula pada penganjuran di Sarawak tahun depan iaitu akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah dan menembak.

Selain itu, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.


Pengarang :