Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah melakukan gimik perasmian majlis Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

700 peserta termasuk dari Jepun, AS sertai persidangan tingkat pengangkutan

SHAH ALAM, 4 SEPTEMBER: Seramai 700 peserta menyertai Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak semalam hingga 7 September di Pusat Konvensyen MBSA, di sini.

Datuk Bandarnya berkata program dengan kerjasama Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia (TSSM) disertai peserta dari luar negara antaranya termasuklah Korea, Jepun, Taiwan, Sri Lanka dan Amerika Syarikat selain beberapa agensi, universiti dan pihak berkuasa tempatan seluruh negara.

Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata persidangan berkenaan menjadi platform kepada para akademik, pembuat dasar, profesional, pelajar serta pihak industri pengangkutan untuk membincangkan hasil
penyelidikan, inovasi serta cadangan penambahbaikan berkaitan sistem pengangkutan.

Datuk Bandar Shah Alam (MBSA) Dr Nor Fuad Abdul Hamid berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Persidangan ini memberikan fokus terhadap isu dan hala tuju berhubung sektor pengangkutan dan teknologi terkini yang digunakan di dalam sektor tersebut selain memberikan ruang dan peluang kepada para peserta untuk membincangkan hasil penyelidikan serta inovasi di dalam bidang pengangkutan

“Sebanyak 500 kertas kerja telah dibentangkan dan dibincangkan sepanjang persidangan ini berlangsung yang merangkumi pelbagai topik dan isu berkaitan pengangkutan dan mobiliti,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian persidangan berkenaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Dr Nor Fuad yakin Shah Alam berpotensi menjadi hub pengangkutan utama Lembah Klang yang serba lengkap dengan prasarana pengangkutan sekali gus mencapai status bandar raya mesra pengangkutan menjelang 2035.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bergambar bersama penaja majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Hasbi menyifatkan EASTS merupakan platform terbaik untuk rujukan selain memenuhi hasrat kerajaan meningkatkan prasarana, penjanaan ekonomi serta memberi keselesaan kepada rakyat dalam sektor pengangkutan.

“Ini kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah EASTS untuk edisi ke-15 penganjurannya, ia satu penghormatan buat negara mengumpulkan pakar, pembuat dasar dan penyelidik.

“Peluang baik untuk kita mengetahui penggunaan teknologi terkini dan hasil kajian para cendekiawan melalui persidangan ini akan menjadi rujukan kerajaan serta pemain industri negara kita untuk tingkatkan pengangkutan awam negara,” katanya.

Antara sebahagian peserta Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :