AGENDANASIONAL

Rogol bergilir-gilir, abang ipar direman enam hari

SHAH ALAM, 5 SEPT: Seorang lelaki direman enam hari mulai Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir membabitkan seorang wanita yang juga adik iparnya di Wangsa Maju.

Ketua penolong pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman berkata suspek yang diburu sejak minggu lalu ditahan pada 11.30 malam di lokasi sama, lapor Sinar Harian.

“Polis kini sedang giat mengesan empat lagi suspek yang masih bebas,” maklum Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan seperti dilaporkan portal berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 27 tahun yang sedang tidur diperkosa lima lelaki di rumahnya di Wangsa Maju pada jam 3.30 pagi, Rabu lalu.

Mangsa yang juga pekerja swasta tersedar apabila tangan diikat suspek sebelum dirogol bergilir-gilir. Selepas memperkosa mangsa, kesemua suspek melarikan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju. Kes disiasat bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.

 


Pengarang :