Sebahagian daripada pengunjung Jualan Ehsan Rahmah DUN Sementa yang diadakan di Arena Square, Bukit Kapar pada 05 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 600 kunjungi JER DUN Sementa, bekalan beras, ayam habis kurang sejam

Oleh SHEEDA FATHIL

KLANG, 5 SEPT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri Sementa mendapat sambutan luar biasa apabila hampir semua barangan habis terjual dalam tempoh kurang sejam.

Penyelarasnya Mohamad Nazif Zulkifli berkata meski sudah tiga kali menganjurkan program di lokasi sama namun sambutan hari ini begitu meriah dengan lebih 600 pengunjung hadir.

Penyelaras JER DUN Sementa Mohamad Nazif Zulkifli

“Walaupun waktu operasi sepatutnya jam 10 pagi tetapi kita terpaksa buka setengah jam awal sebab orang sudah mulai ramai jam 9 pagi dan rata-rata pengunjung adalah warga emas.

“Kita mohon maaf sekiranya ada beberapa barangan jualan perlu dihadkan sebab orang terlalu ramai. Alhamdulillah, kurang sejam beras dan telur habis,” katanya ketika ditemui di jualan murah di Arena Square Bukit Kapar di sini, hari ini

Sementara itu, Siti Zubaida Rahman, 25, mengakui sering menanti penganjuran JER berkenaan bagi mendapatkan harga barangan asas berkualiti pada harga murah.

Siti Zubaida Rahman, 25,

“Hari-hari memang selalu tengok Facebook PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) sebab nak tahu lokasinyaa. Hari ini saya belanja tidak sampai RM50 dapat beras, ayam, telur,” katanya.

Seorang warga emas Sarojah Yunus, 72, yang hadir bersama adiknya turut tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan barangan dapur.

Sarojah Yunus, 72,

“Harga barangan murah, PKPS juga mengutamakan warga emas termasuk menyediakan kerusi buat kami sementara giliran tiba,” katanya

Manakala, Alrizal Masdar, 61, turut mencadangkan supaya barangan ditambah lebih banyak untuk memastikan lebih ramai dapat membelinya.

Alrizal Masdar, 61,

“Lebih 10 kali pergi JER tetapi hari ini agak kecewa dah datang awal 9.30 pagi, barang banyak habis cuma dapat beli ayam dan tepung sahaja,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :