Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika melancarkan Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) dan Selangor Accelerator Programme (SAP) 2023 di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur pada 5 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program baharu bimbing usahawan e-dagang, pacu ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Usaha memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor e-dagang terus dipergiat menerusi program latihan dan bimbingan daripada mentor berpengalaman.

Dikenali sebagai Selangor E-Commerce Xccelerator 2023 (ECX23), inisiatif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut menyediakan bengkel komprehensif.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program terbaharu itu bagi memacu Selangor dalam ekonomi digital selain menjadi pusat digital terkemuka di Asia Tenggara.

Beliau menjelaskan inisiatif tersebut juga akan memberi sokongan kukuh kepada syarikat pemula dan usahawan baharu serta menggalakkan penyelesaian e-dagang yang inovatif.

“Kerajaan Negeri mahu mewujudkan ekosistem perniagaan berteraskan teknologi yang dapat berkembang maju, sekali gus mengubah landskap perniagaan di Selangor dan Malaysia amnya,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pelancaran Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) dan Selangor Accelerator Programme (SAP) 2023 di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur pada 5 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berucap ketika merasmikan ECX23 dan program Pemecut Selangor 2023 (SAP23) kohort keenam, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping dan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan ) atau MBI Saipolyazan M Yusop.

Sementara itu, Kai Ping berkata ECX23 merupakan kesinambungan Anugerah Usahawan E-Dagang Terbaik Malaysia (Top ECM) dengan peserta yang tamat latihan akan menerima pengiktirafan.

Menurutnya, kohort pertama melibatkan 30 syarikat tempatan yang dipilih menerusi piawaian ketat, dengan pemenang akan mendapat keahlian eksklusif dalam kelab usahawan.

“Kelab CXO yang dianggotai ramai usahawan terkemuka akan membantu mereka meluaskan rangkaian perniagaan,” katanya menambah kohort pertama akan bermula dalam tempoh terdekat.

Program ECX23 dianjurkan bersama Affin Bank dan Invest Selangor Berhad, dengan kerjasama rakan strategik Lazada, Pos Malaysia, EasyStore, dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).


Pengarang :