Keadaan bumbung Flat Ampang Hilir yang rosak akibat kejadian ribut pada 28 Ogos 2023. Foto Facebook Izham Hashim
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Negeri salur RM500,000 bantu baiki rumah flat rosak akibat ribut

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kerja baik pulih Flat Ampang Hilir yang rosak akibat ribut, bulan lalu.

Wakil rakyat Pandan Indah memaklumkan kerja pembaikan bumbung serta beberapa infrastruktur lain dijangka siap dalam masa terdekat.

“Hari ini saya turun meninjau kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak akibat ribut di Flat Ampang Hilir pada hujung bulan Ogos yang lalu.

Wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim meninjau kerja baik pulih Flat Ampang Hilir yang rosak akibat kejadian ribut pada 5 September 2023. Foto Facebook Izham Hashim

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi kerja pembaikan ini. Alhamdullilah, kerja-kerja pembaikan berjalan lancar dan dijangka siap dalam tempoh beberapa minggu lagi,” kata Ir Izham Hashim di Facebook.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut membantu memberi perlindungan sementara kepada penduduk yang terkesan.

Wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim meninjau kerja baik pulih Flat Ampang Hilir yang rosak akibat kejadian ribut pada 5 September 2023. Foto Facebook Izham Hashim

“Saya berharap agar penduduk yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang menimpa ketika ini. Insya-Allah, pihak Pusat Khidmat Masyarakat Pandan Indah akan sentiasa membantu dari segi keperluan dan kebajikan,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, bumbung rumah dan bumbung gerai di Flat Ampang Hilir diterbangkan angin kencang dalam kejadian hujan lebat dan ribut. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu.


Pengarang :