AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Konvensyen bandar pintar mulai 19 Okt, sasar potensi nilai pelaburan RM150 juta

SHAH ALAM, 6 SEPT: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) yakin Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) kali ke-8 mampu mencapai potensi nilai pelaburan RM150 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi padanan perniagaan dan jalinan usahasama ke arah pertumbuhan bandar pintar serta ekonomi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping bercakap kepada media selepas majlis program Pemecut Fesyen Selangor di Hilton Hotel I-City, Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Melalui SDEC, kami mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pelabur dalam mengubah idea berwawasan kepada penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat.

“Dengan menetapkan sasaran nilai pelaburan sebanyak RM150 juta, kami mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan interaksi yang bermanfaat antara syarikat pemula dan pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kai Ping berkata SDEC yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 19 hingga 22 Oktober ini melibatkan 180 pempamer daripada pelbagai sektor.

“Setakat ini, hampir 95 peratus gerai pempamer sudahpun ditempah. Kita juga sasarkan pameran ini akan menarik lebih 15,000 pengunjung” katanya.

SDEC merupakan sebahagian daripada enam acara utama yang dianjur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023, Oktober ini.

Konvensyen itu menampilkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor, dan Persidangan Perniagaan Asia.

Selangor memperkenalkan SIBS pada 2016 dan tahun lalu sidang niaga tersebut mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion.


Pengarang :