Yayasan Hijrah Selangor menampilkan tenaga pengajar berpengalaman bagi melatih usahawan yang menyertai kelas Strategi Super TikTok di RHR Hotel Kajang selama dua hari bermula 21 Ogos 2023. Foto Yayasan Hijrah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Usahawan Hijrah dipelawa sertai jualan TikTok, bersama tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mempelawa usahawan di bawah naungannya berganding membuat jualan TikTok Live pada 9 September dan Hari Malaysia.

Agensi itu memaklumkan inisiatif itu terbuka kepada usahawan yang sudah menyertai kelas Strategi Super TikTok 2023 Hijrah, memiliki beg kuning dan TikTok Shop Affiliate selain mesra dan boleh berinteraksi secara langsung.

“Sertai kami berkolaborasi dalam membuat jualan TikTok Live di akaun rasmi @hijrahselangorofficial sempena 9 September dan Hari Malaysia yang akan datang.

“Kami akan menjadi host anda dan bersama-sama berganding dalam membuat jualan live. Jom tingkatkan perniagaan anda bersama kami,” menurut agensi terbabit.

Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi http://tiny.cc/TiktokLiveHijrahSelangor atau imbas kod QR tertera.

Sebelum ini, Hijrah menyasarkan seramai 600 usahawan menyertai program Strategi Super TikTok yang dijalankan dengan kerjasama Kumpulan Peransang Selangor Berhad yang menyediakan 15 kelas bermula Jun sehingga November ini.

Program berkenaan membantu usahawan mempromosi produk menerusi aplikasi TikTok agar mampu meningkatkan jualan sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam perniagaan secara fizikal dan juga atas talian.

Hijrah menyalurkan RM300,000 bagi menjayakan program berlandaskan pendigitalan melibatkan usahawannya.

 


Pengarang :