Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Wei Sin, Cheong Suh Ling (kanan) bersama rakan sekerja Yeo Fei Hong melihat batik yang disumbangkan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd ketika ditemui pada 6 September 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Bangga gayakan batik, Cikgu Darling anggap ia lambang perpaduan antara kaum

Oleh Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU, 7 SEPT: Berbusana tradisional batik bukan sahaja menambah kemanisan seorang guru berbangsa Cina, Cheong Suh Ling, malah beliau menganggapnya sebagai lambang perpaduan antara kaum, sekali gus memupuk semangat nasionalisme dalam dirinya.

Mesra disapa ‘Cikgu Darling’ dalam kalangan murid-muridnya, guru itu berkata beliau sangat menggemari baju tradisional batik seperti baju Kedah dan baju kurung walaupun ia lebih sinonim dengan kaum Melayu kerana coraknya yang cantik dan sesuai dipakai semua kaum.

“Lebih utama, batik adalah seni warisan negara dan lambang identiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa.

“Batik juga bukanlah asing bagi saya kerana saya berasal dari Terengganu. Sebelum cuba pakai batik, saya suka lihat orang lain pakai sebab cantik,” katanya ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin di sini.

Katanya selepas kali pertama memakai baju kurung batik, beliau terus ‘jatuh cinta’ kerana bukan sahaja coraknya eksklusif, malah materialnya juga sangat selesa untuk cuaca di negara ini yang kebiasaannya panas.

Menurut Cikgu Darling, beliau memiliki beberapa koleksi pakaian batik yang dibeli dan ada juga dihadiahkan rakan berbangsa Melayu.

Katanya selepas kerajaan mengeluarkan arahan mewajibkan penjawat awam berbaju batik pada setiap Khamis, beliau tidak berasa janggal atau kekok untuk mengenakan pakaian tersebut, malah berasa bersemangat untuk menggayakan busana bermotif batik.

“Sebenarnya sekolah kami sudah mempraktikkan amalan pemakaian batik pada Khamis pertama setiap bulan. Pakaian kami ditaja oleh peniaga batik di Kampung Cina.

“Di sini (sekolah) kami ada 55 guru Cina, Melayu tujuh orang dan India seorang. Semua pun suka batik dan saling bertukar-tukar pandangan kalau ada nak beli pakaian tersebut,” kata guru wanita itu yang merupakan guru Sains dan Bahasa Cina.

Sementara itu bagi guru Bahasa Melayu, Yeo Fei Hong, pemakaian batik bukan sahaja dapat menerapkan semangat perpaduan, malah melambangkan keterbukaan dan keharmonian warga SJKC yang bukan sahaja terdiri daripada kaum Cina, malah ada juga kaum lain.

Menurut Yeo, beliau sendiri memiliki beberapa koleksi baju kurung dan pakaian tradisional ceongsam yang bermotifkan batik.

“Kain batik yang belum jahit pun ada banyak di rumah. Ada yang beli dan hadiah daripada kawan. Bila pakai baju batik rasa kita sama saja… tak ada Cina, Melayu atau India. Guru di sini semua sangat rapat, sudah macam satu keluarga walau berlainan warna kulit dan agama,” kata guru wanita itu.

Minat terhadap batik juga mendorong Cikgu Darling menyertai peraduan ‘Sekolah Kesayangan Noor Arfa’ dan lebih beruntung apabila guru berkenaan telah dinobatkan sebagai pemenang utama dan meraih hadiah 50 pasang kain batik untuk diagihkan kepada rakan-rakan guru di sekolahnya.

Eksekutif Penjenamaan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Farhana Wan Tazilah berkata pihaknya sangat teruja apabila diberitahu pemenang peraduan yang memerlukan peserta mendapatkan 100 responden untuk tinjauan batik itu telah dimenangi oleh peserta bukan Melayu.

“Kami amat teruja kerana pemenang pertama adalah guru dari sekolah jenis kebangsaan Cina. Dengan kejayaan ini diharap batik diterima dengan lebih meluas dalam kalangan bukan Melayu.

“Kami juga menganggap usaha kami ini sebagai satu daripada tanggungjawab sosial untuk menyahut seruan kerajaan yang mahu mengangkat martabat batik sebagai warisan negara dan sesuai digayakan semua rakyat tanpa mengira bangsa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :