Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan majlis pembukaan Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pameran udara pacu masa depan sektor aeroangkasa

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) yang memasuki edisi ketiga membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri memacu masa depan sektor penerbangan dan aeroangkasa.

EXCO pelaburan dan perdagangan berkata penganjuran SAS menggalakkan inovasi dan kerjasama dengan penggiat industri bagi membentuk hala tuju sektor itu baik di peringkat tempatan mahupun global.

Memberi contoh Pameran Kerjaya yang menjadi salah satu pengisian SAS, Sze Han menjelaskan ia memadankan 25 pempamer dengan anak muda yang berminat menceburi industri terbabit.

EXCO Kerajaan Negeri Ng Sze Han berucap ketika majlis pembukaan Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Selangor sentiasa sedia bekerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (Naico), Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan persatuan lain berkaitan (untuk memacu masa depan sektor ini),” kata Ng Sze Han.

Beliau berucap pada majlis pembukaan SAS 2023 yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Tambah Sze Han, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjalankan beberapa misi perdagangan bagi mempromosi sektor aeroangkasa negeri ini ke peringkat global.

Menurut beliau misi dijalankan ke Singapura, Kanada, United Kingdom dan Perancis tahun ini menarik minat bakal pelabur selain berharap kerjasama dimeterai tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan ke reruai pameran selepas merasmikan majlis pembukaan Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berlangsung tiga hari hingga 9 September, SAS 2023 menampilkan 117 pempamer dari dalam dan luar negara selain 40 pesawat statik pelbagai jenis.

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, SAS kali ini dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dalam pelbagai sektor manakala potensi nilai transaksi RM700 juta.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.


Pengarang :