Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Anugerah Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor kepada waris Leftenan Adnan ketika sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 bertemakan Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB seru masyarakat hargai pengorbanan tokoh pejuang kemerdekaan

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 7 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengajak masyarakat menghayati dan menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu dalam meraikan semangat kemerdekaan tanah air.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemerdekaan yang dicapai negara pada hari ini tidak datang bergolek tanpa pengorbanan, keringat dan air mata pejuang terlibat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia menghayati dan menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu serta memahami asal usul sejarah kemerdekaan tanah air. Antaranya ialah kisah keperwiraan Leftenan Adnan Saidi melawan askar Jepun hingga ke titisan darah terakhir.

“Allahyarham adalah anak jati Selangor yang lahir di Kampung Sungai Ramal telah memimpin Rejimen Askar Melayu Diraja mempertahankan Tanah Melayu dari ditawan oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua,” katanya di Facebook hari ini sempena meraikan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan pentadbiran negeri dan EXCO melaungkan ‘Merdeka’ pada sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri menghargai jasa dan pengorbanan tokoh itu dengan menobatkan Leftenan Adnan Saidi sebagai Tokoh Kemerdekaan Selangor.

“Alhamdulillah, anugerah telah disampaikan kepada cicit saudara tokoh gemulah Leftenan Adnan Saidi, Mohd Asrul Halim Ahmad.

“Keberanian dan kepahlawanan Leftenan Adnan yang berjuang habis-habisan menentang tentera Jepun hingga ke titisan darah terakhir akan terus dikenang sampai bila-bila,” katanya.


Pengarang :