Penang Port Sdn Bhd (PPSB) syarikat pengendali perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang mengenakan bayaran kepada penumpang mulai 7 September 2023 antara RM1 hingga RM2.50 bagi sehala. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Tambang baharu feri Pulau Pinang dari RM1 hingga RM2.50 sehala

BUTTERWORTH, 7 SEPT: Pengguna menyifatkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang bermula hari ini berpatutan dan sepadan dengan perkhidmatan ditawarkan.

Tinjauan di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di sini mendapati kebanyakan pengguna menerima baik kadar tambang yang bermula RM1 hingga RM2.50 sehala itu.

Ahmad Noor Omar, 55, berkata harga tambang feri baharu yang dikenakan itu tidak membebankan kerana keadaannya kini lebih selesa dan baik berbanding feri lama.

“Pada saya harga tambang yang dikenakan berpatutan, malah sekarang feri baharu ini juga selesa dan ada penyaman udara, tempat duduk pun baik, malah perjalanan ambil masa 10 minit sahaja bagi setiap hala.

“Kalau feri lama dulu, hampir 30 minit juga bagi setiap perjalanan dan kalau kita tengok bukan sahaja keadaan di dalam feri selesa tapi tempat menunggu juga selesa … (kekerapan) feri baharu ini pun cepat kami tak perlu menunggu lama untuk setiap feri,” katanya.

Bagi Dini Rahman, 27, yang tinggal di Tasek Gelugor berkata beliau sekeluarga mengambil peluang untuk menaiki feri dengan suami dan anak perempuan mereka bagi merasai suasana serta pengalaman menaiki feri baharu itu.

“Dulu memang selalu naik feri lama kerana berulang-alik kerja dan hari ini memang nak naik feri baharu, tambang pada saya harganya murah serta berpatutan,” katanya.

Penunggang motosikal yang mahu dikenali sebagai Lim, 40, berkata beliau memilih menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang-alik dari pulau ke seberang dan sebaliknya, walaupun perlu membayar RM2.50 sehala kerana lebih selamat.

“Hari ini baru mula bayar, pada saya harga okay kerana perkhidmatan (feri) baharu dan yang penting naik feri ini boleh relaks sikit sebab kita duduk sahaja tahu-tahu sudah sampai … kalau guna jambatan walaupun percuma tapi (ada risiko) bahayalah,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Semalam, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan dalam kenyataan memaklumkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang dikenakan kepada penumpang berkuat kuasa hari ini bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 bagi sehala.

Tambang RM1 itu akan dikenakan kepada individu atau pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas pula tambang RM2 dikenakan.

Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri dikenakan caj RM2 manakala penunggang motosikal pula perlu membayar tambang RM2.50.

PPSB turut menyediakan pas bulanan yang menawarkan diskaun kepada pengguna setia feri iaitu pejalan kaki yang memegang MyKad 50 peratus hingga 31 Disember dan selepas itu, diskaun 30 peratus bermula dari 1 Januari 2024.

Inisiatif ini bertujuan memberi lebih nilai tambah dan kemudahan kepada penumpang setia feri.

– BERNAMA


Pengarang :