AGENSISELANGOR

Pertandingan video TikTok, kupas nangka antara menarik di pesta buah-buahan tempatan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Orang ramai dipelawa menyertai pelbagai aktiviti di Pesta Buah-Buahan Tempatan Negeri Selangor 2023 pada 9 dan 10 September ini.

Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan program yang diadakan di SACC Mall itu turut menyediakan 3,000 kupon percuma kepada pengunjung terawal bernilai RM20 untuk setiap keluarga.

JPNS memaklumkan antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung adalah kuiz kenali buah durian, pertandingan ukiran buah pitaya dan melon, agro hot wheel serta pertandingan kupas nangka.

Selain itu turut diadakan pertandingan kolaj herba bertemakan buah-buahan tempatan, pertandingan fesyen dengan tema patriotik dan buah-buahan tempatan, pertandingan video TikTok dan mewarna.

“Jom datang dan sertai aktiviti pesta buah-buahan negeri Selangor di SACC Mall, Shah Alam.

“Borang boleh diperolehi di kaunter pendaftaran Jabatan Pertanian,” kata kenyataan itu menerusi Facebook.

Pesta itu bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan ia merupakan usaha sama JPNS bersama Unit Perancang Ekonomi Selangor sempena Jelajah Agro Selangor.


Pengarang :