CPL Aromas dari United Kingdom secara rasmi membuka fasiliti pengeluaran tercanggihnya di Pulau Indah pada Jun 2023 (gambar hiasan). Foto Facebook CPL Aromas
AGENDANASIONAL

Pengeluar wangian terbesar dunia dari UK beroperasi di Pulau Indah

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: CPL Aromas dari United Kingdom, yang merupakan pengeluar wangian terbesar di dunia, secara rasmi telah membuka fasiliti pengeluaran tercanggihnya di Pulau Indah, Selangor pada Jun 2023, dengan pengeluaran berskala penuh dijadualkan menjelang akhir tahun.

Pembinaan fasiliti pengeluaran itu telah siap pada Ogos 2022, diikuti dengan pemasangan mesin, peralatan dan kemudahan, manakala pengeluaran percubaan bermula pada awal Jun 2022, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan CPL Aromas dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Dengan keluasan tanah 20,000 meter persegi (4.94 ekar) dan kawasan binaan kira-kira 10,500 meter persegi (113,021 kaki persegi), fasiliti itu masih mempunyai baki tanah yang boleh dibangunkan pada masa hadapan.

Pengarah Urusan Wilayah CPL Aromas Thomas Wan berkata kemudahan pengeluaran itu diautomasikan bagi meningkatkan kecekapan serta keselamatan pengangkutan termasuk penyimpanan bahan mentah.

Selain daripada jentera pengeluaran termaju, fasiliti tersebut ditauliahkan dalam melindungi alam sekitar selain mengurangkan kesan karbon dengan ciri-ciri seperti panel solar, dinding serta siling bertebat simpanan sejuk, sistem penuaian air hujan dan loji rawatan air sisa.

“Semua bahan yang digunakan termasuk produk siap adalah patuh halal, dengan usaha berterusan untuk mencapai akreditasi ISO9001 dan pensijilan halal, ini mengukuhkan komitmen tidak berbelah bahagi syarikat terhadap kualiti serta pematuhan yang luar biasa,” katanya.

Jelasnya lagi, selain melayani permintaan pasaran Malaysia, fasilitu itu turut mengeksport ke negara Asean yang lain.

Tenaga kerja yang dirancang adalah kira-kira 50 orang berikutan tahap automasinya yang tinggi dengan majoriti berada dalam kategori separa mahir serta mahir. Keutamaan akan diberikan kepada bakat tempatan dan latihan intensif akan disediakan, kata kenyataan itu lagi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA (promosi serta kemudahan pelaburan) Sivasuriyamoorthy Sundara Raja melalui ucapan perasmiannya berkata kilang minyak wangi itu menerapkan semangat berintensif pengetahuan aktiviti pembuatan.

Kilang automatik sepenuhnya itu melambangkan inovasi dalam industri dan mempamerkan komitmen Malaysia untuk menerima teknologi termaju khususnya ke arah menjadi hab bagi kemajuan teknologi di rantau ini. Ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, kata Sivasuriyamoorthy.

“Kami menyasarkan Malaysia untuk menjadi makmal gaya hidup Asia, lokasi bagi syarikat penjagaan pengguna dalam penghasilan idea, mereka bentuk dan membangunkan penyelesaian kepada pengguna di Asia dan seterusnya,” katanya.

Kehadiran CPL Aromas melangkaui 18 lokasi antarabangsa dengan asas pelanggan merangkumi lebih daripada 100 negara. Ia turut berbangga dengan pencapaiannya apabila memegang anugerah Platinum berprestij daripada EcoVadis, penyedia terkemuka dunia bagi penarafan kemampanan perniagaan.

Penghargaan tersebut telah meletakkan CPL Aromas dalam satu peratus teratas syarikat dalam kategorinya, menekankan dedikasinya terhadap amalan perniagaan yang mampan.

Kemudahan pengeluaran itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap kemampanan perniagaan, dengan pelaburan besar ditujukan ke arah meningkatkan pengeluaran, manusia dan bumi.

– BERNAMA


Pengarang :