Kakitangan Drone Academy Asia Derek Yap Jun Yan (kanan) dan Syamimie Munir mempromosikan risalah Drone Academy ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 Septembar 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Akademi dron tawar latihan kawalan jauh, mampu jana pendapatan

SHAH ALAM, 8 SEPT: Akademi latihan dron, Drone Academy Asia menjadikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 sebagai medium memperkenalkan perkhidmatan ditawarkan mereka.

Jurutera projek dan perundingnya, Derek Yap Jun Yan berkata Drone Academy Asia adalah akademi latihan dron pertama di Malaysia menerima kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi penyediaan latihan bagi Sijil Penarafan Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh.

Jurutera projek Drone Academy Asia Derek Yap Jun Yan ditemui di Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sejak tahun lalu lebih 300 individu menerima sijil ini dan mereka boleh manfaatkan untuk pekerjaan dan sebagainya.

“Kebanyakan yang mengambil bahagian adalah mereka yang terlibat dalam sektor pertanian, pemeriksaan termal, tenaga dan pemetaan,” katanya ketika ditemui pada SAS 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong semalam.

Jun Yan berkata bidang kawalan dron wajar diteroka terutama generasi muda kerana kemahiran dalam bidang itu semakin mendapat permintaan dan berpotensi tinggi.

“Kami menawarkan latihan dron berkualiti tinggi di Asia dengan kurikulum dan program pensijilan dron yang komprehensif.

“Diharap dengan penyertaan dalam pameran ini kami boleh menarik lebih ramai individu untuk meneroka bidang kawalan jauh seperti dron kerana ia kemahiran terkini yang patut diteroka dan boleh menjana pendapatan,” katanya.

Katanya, akademi berkenaan yang berpangkalan di Kuching dan Cyberjaya menyediakan pelbagai jenis latihan pensijilan dron untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.

“Mereka boleh lawati laman sesawang www.droneacademy-asia.com,” katanya.

Dianjurkan selama tiga hari hingga 9 September SAS 2023 menampilkan 117 pempamer dari dalam dan luar negara.


Pengarang :