AGENDAJENAYAH

Empat lelaki ditahan bantu siasatan kes culik

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Polis menahan empat individu kerana disyaki terbabit dalam kes culik seorang lelaki yang ditemukan maut berhampiran sebuah stesen minyak di Batu 14 Puchong, Selangor kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa anak lelakinya dilarikan sekumpulan lelaki yang dikenali mangsa di kawasan perumahan Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Cheras Isnin lalu.

Beliau berkata susulan itu, polis menjalankan siasatan sebelum mangsa, yang berusia 25 tahun, ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada 12.55 tengah malam.

“Berikutan itu, empat lelaki berusia 27 hingga 35 tahun ditahan dan semakan mendapati mereka mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek ditahan reman bermula hari ini (semalam) hingga 10 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Allaudeen berkata pihaknya masih mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh hubungi Balai Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :