ADN Dusun Tua Johan Abd Aziz memantau sistem perparitan yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Batu 18, Hulu Langat pada 24 Ogos 2023. Foto Facebook Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Dusun Tua giat pelihara, pulihara kawasan tarikan pelancong

SHAH ALAM, 8 SEPT: Potensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua sebagai lokasi pelancongan Selangor akan terus dilonjak menerusi pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan tarikan pelancong.

Wakil rakyatnya Datuk Johan Abdul Aziz berkata beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan menyatakan keperluan penambahbaikan dan naik taraf infrastruktur di kawasan tarikan pelancong di situ.

Johan berkata kawasan Dusun Tua khususnya di bahagian Utara mempunyai tarikan semula jadi seperti Gunung Nuang, Sungai Gabai, Sungai Manggis, Sungai Congkak dan Sungai Pangsun.

“Selain itu ada tiga kolam air panas yang perlu dinaik taraf infrastrukturnya supaya dapat memberi keselesaan kepada pengunjung selain terus memelihara tarikan semuala jadi yang ada,” katanya.

Beliau berkata kawasan Dusun Tua yang dipenuhi dusun buah-buahan pelbagai jenis termasuk durian, pulasan dan manggis juga akan dipenuhi pelancong apabila tibanya musim buah.

Katanya seiring usaha melonjak potensi pelancongan, isu kesesakan jalan raya turut diberi perhatian dan penyuraian trafik amat perlu bagi menjamin keselesaan penduduk dan mereka yang melawat kawasan itu.

“Jalan di sekitar Hulu Langat yang sudah sedia sesak lebih sesak pada hari cuti, saya dapat aduan di Batu 14, Hulu Langat baru-baru ini kesesakan hingga enam kilometer.

“Saya difahamkan kertas kerja berkaitan penyuraian trafik di Batu 14 sudah ada dan kita akan adakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat bagi membincangkan cadangan tambahan dan sebagainya.

“Selain itu pembinaan jejambat bagi menyurai trafik di persimpangan Batu 9, Hulu Langat dijangka siap Mei 2026 membabitkan peruntukan RM100 juta,” katanya.

 


Pengarang :