Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (kiri) merasmikan pameran perpustakaan pada 7 September 2023 sempena Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-17 dan Hari Kemerdekaan serta Sambutan Hari Malaysia. Foto Facebook Universiti Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pameran sambutan merdeka, Hari Malaysia Unisel singkap sejarah negara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) menganjurkan pameran sempena Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-17 dari 6 hingga 10 September ini.

Unisel memaklumkan pameran bertemakan ‘Watikah Pemasyuran Kemerdekaan’ itu seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.

“Pameran ini bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia, ia membawa pengunjung merasai pengembaraan masa ke satu dekad yang telah mengubah sejarah negara kita.

“Pameran ini juga bakal menyingkap kapsul masa tokoh yang menempa nama melakar sejarah negara bermula dari zaman Bapa Kemerdekaan sehingga tokoh masa kini,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, pihak perpustakaan turut mempelbagaikan lagi bahan pameran antaranya koleksi buletin Unisel, buku transformasi, gambar naib canselor, koleksi album, koleksi buku istiadat konvokesyen, koleksi teras strategik dan koleksi jubah.

Pelbagai aktiviti menarik berlangsung sepanjang istiadat konvokesyen antaranya Night Run, Zumbathon Fiesta, Pertandingan Vokal Mania@Unisel dan Treasure Hunt.

Turut diadakan Unisel Berselawat, Matematik Bersama Cikgu Shah, Motovasi SPM Bersama Bro Amin Idris, Inspirasi Boss James dan Liga Street Soccer.

Menariknya, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis antaranya Black Hanifa, Ronnie Hussein, Bella Astilah, Sarah Suhairie dan Man Raja Lawak pada Sabtu ini jam 9 malam.


Pengarang :