AGENDANASIONAL

Lebih RM20 juta hasil kutipan bidaan nombor pendaftaran siri M__M

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan lebih RM20 juta hasil kutipan keseluruhan bagi bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri M___M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan nombor pendaftaran M1M merupakan NPI paling tinggi dibida dengan nilaian RM622,000 manakala M5M berada di tempat kedua tertinggi dengan harga RM500,000.

“Ketiga, M8M dengan nilaian RM450,000, diikuti M9M dengan nilai RM402,004 dan kelima, M6M dengan nilaian RM350,000. Siri M__M ini menunjukkan sambutan luar biasa daripada pembida.

“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah 25,033 orang dan 6,872 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” menurut kenyataan itu.

JPJ menjelaskan lima nombor yang paling banyak dibida ialah M101M iaitu 39 pembida, M155M (33 pembida), M51M (32 pembida), diikuti M313M (31 pembida) seterusnya M39M, 28 pembida.

“Hasil pembidaan siri M___M ini yang membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’ mendapat sambutan daripada pelbagai pihak sekali gus menunjukkan semangat dalam menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2023,” menurut kenyataan itu.

JPJ mengucapkan tahniah kepada pembida yang telah menerima keputusan rasmi pada 5 September lalu dan berterima kasih kepada semua yang menyertai bidaan itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid.

Bidaan nombor pendaftaran melalui Sistem JPJeBid secara dalam talian ini ialah suatu usaha jelas JPJ dalam menyediakan perkhidmatan secara digital kepada rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.

– BERNAMA


Pengarang :