Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berbual bersama rakyat jelata ketika berangkat ke Pekan Nabalu sempena Kembara Kenali Borneo pada 6 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat ke Brunei sebelum terus kembara di Sarawak

MIRI, 8 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Brunei, selepas singgah di Lawas, Sarawak malam tadi.

Menurut kenyataan Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di hotel penginapan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 11.20 malam selepas melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, Lawas.

Turut menyambut keberangkatan pasangan diraja itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan negara itu Datuk Seri Setia Awang Muhammad Juanda Abdul Rasyid.

“Seri Paduka berdua bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum menyambung Kembara Kenali Borneo ke bandar raya Miri, esok,” menurut kenyataan itu yang dikongsikan kepada Bernama hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyantuni rakyat di perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 7 September 2023. Foto Facebook Istana Negara

Esok, Kembara Kenali Borneo akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri dan beberapa acara sambutan turut dirancang sebelum bergerak ke Bekenu dan Bintulu pada keesokannya.

Kembara Kenali Borneo di Sarawak turut melibatkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 Sept ini.

Kembara Kenali Borneo yang bertujuan merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, telah mengakhiri pengembaraan di Sabah semalam yang bermula pada 3 Sept lepas.

Pengembaraan selama 11 hari itu melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

-BERNAMA


Pengarang :