DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri istiadat pengurniaan watikah dan pelantikan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 29 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan: Fitnah bercanggah prinsip Islam, jangan buta tuli sebar berita

SHAH ALAM, 8 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan umat Islam tidak menjadi penyebar fitnah sebaliknya sentiasa menyampaikan berita yang benar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengupas teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini bertitah amalan tersebut bercanggah dengan prinsip Islam.

“Senada dengan seruan khutbah itu, Baginda mengingatkan kepada semua umat Islam agar jangan merosakkan diri dengan amalan buruk fitnah memfitnah ini.

“Baginda mahu agar setiap berita yang diperolehi hendaklah ditapis dan diberi keabsahan terlebih dahulu dari pihak yang bertanggungjawab.

“Adalah bercanggah dengan prinsip Islam, apabila hanya menerima berita atau maklumat yang hanya disahkan dengan hati yang penuh kebencian, dendam, kemarahan dan pertimbangan secara membuta tuli,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Terdahulu, mimbar Jumaat mengingatkan bahaya fitnah dan cerita palsu dilemparkan pihak tertentu terhadap dasar dan tindakan kerajaan serta pihak berkuasa agama dalam beberapa perkara.

Antara fitnah disebar adalah keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengetatkan syarat keperluan tauliah mengajar di Selangor, isu pemutihan sekolah agama persendirian selain penyusunan semula guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang didakwa cara kerajaan mahu menutup institusi berkenaan.

Bulan lalu, Sultan Sharafuddin berharap polis segera mengesan kumpulan yang melempar fitnah kononnya pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian di negeri ini ditutup.

Baginda bertitah tohmahan itu menimbulkan kerisauan ibu bapa dan menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi dan pihak berkuasa agama di negeri ini.

Pada 16 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Julai lalu, beliau menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.


Pengarang :