Canselor Universiti Selangor (Unisel) Raja Tan Sri Arshad Alhaj menyampaikan Anugerah Canselor kepada Siti Nazihah Zulkifli pada Istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Graduan Unisel diseru terap semangat perpaduan, berjasa kepada masyarakat

KUALA SELANGOR, 9 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) menekankan perpaduan bangsa, budaya dan agama dalam memberikan pendidikan terbaik kepada pelajarnya yang berbilang bangsa.

Canselor Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berkata semangat perpaduan itu perlu diteruskan sepanjang masa ketika bergaul sekali gus mewujudkan masyarakat yang harmoni.

“Saya sangat gembira melihat dewan ini dipenuhi graduan bangsa Melayu, Cina, India dan kaum dari Sabah dan Sarawak.  Terdapat juga pelajar antarabangsa dari Indonesia, Oman, Bangladesh, Pakistan, Somalia, China dan Kenya.

“Sebagai graduan dan bakal alumni Unisel, saudara dan saudari perlulah menjadi duta keharmonian yang membanggakan universiti serta negeri,” katanya merasmikan Istiadat Konvokesyen ke-17 Unisel hari ini.

Canselor Universiti Selangor (Unisel) Raja Tan Sri Arshad Alhaj menyampaikan Anugerah Canselor kepada Siti Nazihah Zulkifli pada Istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau turut menyeru graduan menjadi ahli alumni supaya dapat membimbing pelajar, selain menyumbang kepada pembangunan akademik, penyelidikan dan inovasi melalui Yayasan Universiti Selangor.

“Jadikanlah Unisel sebagai gedung intelektual yang pernah berjasa kepada saudara dan saudari. Teruslah merapatkan hubungan dengan rakan-rakan alumni yang pada hari ini terdiri daripada lebih 40,000 orang,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor Siti Nazihah Zulkifli terharu dan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

“Ini anugerah terulung. Perjalanan sejak 2018 ketika diploma hingga ijazah memberi pengalaman sangat berharga dan tidak ternilai.

“Keputusan memilih Unisel tepat kerana membantu saya membentuk jati diri dan sikap budiman. Unisel juga latih saya bersikap positif selain ajar untuk mendepani dunia pekerjaan,” katanya.

Siti Nazihah Zulkifli menerima Anugerah Canselor pada Istiadat Konvokesyen ke-17 Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :