Orang ramai memenuhi ruang pameran kapal terbang ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran Udara Selangor melabuhkan tirai, terima lebih 20,000 pelawat

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 yang melabuhkan tirai hari ini menerima lebih 20,000 pelawat, mengatasi angka dicatat tahun lepas.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata jumlah itu membuktikan populariti SAS kian meningkat selain mendapat tempat dalam kalangan orang awam terutama penggiat industri.

“Sepanjang tiga hari program bermula Khamis lalu, kita berjaya menghimpunkan ramai pelawat daripada pelbagai peringkat umur. Kita juga dapat mengumpulkan ramai ahli perniagaan dan pemain industri.

“Program ini mampu mempromosi industri penerbangan dan aeroangkasa kepada orang awam seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa serantau,” katanya di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini.

EXCO Kerajaan Negeri Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris bergambar bersama ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bercakap dalam temu bual dengan Selangorkini hari ini, beliau turut memaklumkan sebanyak 27 memorandum persefahaman (MoU), surat niat (LOI) dan surat penerimaan (LOA) dimeterai bersama pemain industri dengan potensi nilai transaksi RM700 juta.

Tambahnya sebanyak 119 pempamer terlibat pada pameran edisi ketiga dengan rata-rata berharap SAS diteruskan pada tahun-tahun mendatang pada skala lebih besar.

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, SAS mempamerkan 40 pesawat statik pelbagai jenis antaranya pesawat peribadi dan sukan selain memperkenal aktiviti baharu.

Acara baharu termasuk sukan udara dron dan karnival kerjaya melibatkan 25 syarikat penerbangan tempatan serta antarabangsa yang memberi khidmat nasihat bagi menjalani sesi temu duga selain latihan komunikasi.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.


Pengarang :