Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Nazri Abdul Rahman beramah mesra dengan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram ketika meninjau di Pusat Pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Chai pada 9 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengundi Simpang Jeram kekal sokong HARAPAN, Nazri menang majoriti 3,514 undi

MUAR, 9 SEPT: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Nazri Abdul Rahman, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada pukul 9.12 malam tadi di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, Muar malam ini.

Menurut data SPR 40,379 pengundi yang layak mengundi pada PRK hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, DUN Simpang Jeram dimenangi Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada PH apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Md. Don (6,062 undi), Zarul Salleh dari PN (6,350 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Kemenangan Nazri, 56, yang pernah menjadi pegawai khas kepada Salahuddin Ayub, sekali gus menamatkan impian Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kawasan yang pernah disandang oleh Salahuddin selama hampir dua penggal.

Nazri merupakan seorang jurutera yang berkhidmat di Majlis Perbandaran Muar selama 30 tahun, sebelum menamatkan perkhidmatan sehari sebelum proses penamaan calon diadakan pada 26 Ogos lepas.

PRK Simpang Jeram diadakan susulan kematian Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah, pada 23 Julai lepas.

– BERNAMA

 


Pengarang :