SHAH ALAM, 10 SEPT: Lebih 2,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan yang diadakan sempena Hari Jantung Sedunia di sini, hari ini.
Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman berkata acara di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga jantung selain menggalakkan gaya hidup sihat.
“Acara ini diadakan minggu kedua setiap bulan secara percuma dan mengetengahkan tema berbeza. Kali ini, penganjuran dibuat sempena Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29 September dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai.
“Penglibatan masyarakat terhadap program ini memberangsangkan. Diharap penyertaan meningkat pada bulan-bulan seterusnya kerana kita dapati kecenderungan masyarakat terhadap penjagaan kesihatan semakin berkurang,” katanya ketika ditemui.
Aktiviti menarik disediakan antaranya KPJ ‘Selangor Lub Dub Fun Run 2.0’, ‘Shah Alam Car Free Day Fun Ride’, ‘Fun Walk’, kayuhan santai, senamrobik dan persembahan kombo MBSA.
Kanak-kanak pula disajikan aktiviti seperti memanah, ‘Parrot Brothers’, ‘Wall Climbing’, Perpustakaan Bergerak dan Kraf Perpustakaan Anggerik Vanilla.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/m2-4-500x375.jpg.webp)
Sementara itu, pengunjung Nur Aliah Jaafar, 33, teruja kerana pertama kali berpeluang menyertai Lub Dub Fun Run yang dianjur MBSA sempena program terbabit.
“Saya tahu program ini melalui iklan yang disiarkan di laman sesawang KPJ Healthcare. Sebelum ini saya kerap menyertai acara larian sempena Kuala Lumpur Hari Tanpa Kenderaan.
“Acara ini sangat baik untuk kesihatan dan dapat meningkatkan stamina,” katanya yang berkhidmat sebagai ahli farmasi di KPJ Damansara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/m1-2-500x375.jpg.webp)
Seorang lagi pengunjung Siti Nurafifah Mohd Azmi, 25, turut mengambil peluang menyertai acara sama bagi mengurangkan tekanan kerja selain bertemu kawan sekerja.
“Saya memang menggemari aktiviti larian kerana dapat kurangkan stres bekerja, apatah lagi saya bekerja syif dan masa tidak menentu.
“Setiap kali program sebegini dibuat pada hari minggu oleh mana-mana agensi memang saya tidak akan lepaskan peluang, melainkan jika perlu bekerja pada hari tersebut,” katanya yang juga ahli farmasi di KPJ Damansara.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/MBSA-2-1-500x434.jpg)