Kanak-kanak segak memperagakan pelbagai busana mengibarkan Jalur Gemilang pada Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia sempena program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya pada 10 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

2,000 pengunjung banjiri Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia MBSJ

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SUBANG JAYA, 10 SEPT: Acara Perarakan Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia sempena program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran 2,000 pengunjung.

Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata seramai 624 peserta membabitkan 25 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

“Acara ini adalah julung kali diadakan dan alhamdulillah sambutannya sangat mengalakkan daripada masyarakat di sini.

“Disebabkan itu, kita akan cuba buat beberapa penambahbaikan untuk dijadikan sebagai aktiviti tahunan dengan pelbagai pengisian yang lebih menarik,” katanya.

Kontijen Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) antara 25 kontijen yang mengambil bahagian dalam Perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sempena program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya pada 10 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau berkata, program yang bermula 7 pagi itu bertujuan untuk menanamkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat bandaraya berkenaan.

“Peserta dan pengunjung yang hadir pada hari ini adalah bermula daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

“Mereka inilah warga Subang Jaya yang perlu mewarisi semangat kebangsaan yang perlu dikekalkan bukan hanya di peringkat bandaraya ini malah negeri dan juga negara,” katanya.

Pada acara itu, MBSJ mengumumkan kontinjen dari KDEB Waste Management (KDEBWM), majlis perwakilan penduduk (MPP) Zon 14 dan Tadika As Sakeenah Learning Centre sebagai pemenang perbarisan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil penyertaan.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan antaranya termasuklah pertandingan Street Soccer, memanah, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesedaran bahaya denggi, demonstrasi dari Unit K9 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan cabutan bertuah.

Antara persembahan dari unit K9 PDRM pada Perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sempena program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya pada 10 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :