Petugas membuat persiapan menyediakan barangan asas ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Selat Klang di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 10 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS: Bekalan beras di lokasi JER cukup, penuhi permintaan pengunjung

SHAH ALAM, 10 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tidak berhadapan isu menyediakan bekalan beras kepada pengunjung di Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Penyelia Unit Jualannya,Muhammad Farid Mustafa berkata PKPS masih membawa kuantiti yang sama iaitu sekurang-kurangnya 200 paket beras 5 kilogram jenama Ehsan di setiap program jualan.

“Kita tidak menghadapi isu kekurangan beras setakat ini dan kita masih bawa jumlah yang sama di setiap program JER.

“Sebelum ini memang diakui ada masalah kekurangan bekalan beras, tetapi apabila program jualan dikurangkan (kerana masalah pengangkutan) ia dapat menampung bekalan sedia ada,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning yang diadakan di Dewan Pulai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 27, di sini hari ini.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Selat Klang di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 10 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Semalam Dato’ Menteri Besar memaklumkan bekalan beras di negeri ini mencukupi dan akan dipantau bagi memastikan keperluan berkenaan sentiasa ada.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, beliau mengakui berlaku kekurangan beras antara 10 hingga 15 peratus pada awal bulan lepas namun dapat diatasi dengan pengambilan bekalan dari Sekinchan.

Pada Julai, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui terdapat kekurangan bekalan beras tempatan disebabkan faktor cuaca.

Beliau berkata keadaan ketika ini tidak sesuai sekali gus merencatkan pertumbuhan padi untuk menghasilkan bekalan makanan tersebut.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Selat Klang di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 10 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :