Orang ramai beratur bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di Dewan Pulai MBSA Seksyen 27, Shah Alam pada 10 September 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah di DUN Kota Kemuning diserbu lebih 800 penduduk

SHAH ALAM, 10 SEPT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning hari ini mendapat sambutan luar biasa apabila diserbu lebih 800 penduduk.

Ahli Majlis Zon 10 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Saribanon Saibon berkata meski sudah 31 kali jualan murah berlangsung di DUN itu, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Kebanyakan penduduk di sini adalah dari kumpulan M40 dan B40, jadi program jualan murah ini memang amat dinanti-nantikan oleh mereka.

“Saya berharap selepas ini pihak penganjur dapat meningkatkan kuantiti jualan kepada 1,000 ekor ayam terutamanya pada program JER di hujung minggu,” katanya ketika ditemui.

Berlangsung di Dewan Pulai MBSA Seksyen 27, di sini, sebanyak 500 ayam, 200 paket beras, ikan, dan telur terjual pada program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Antara produk tambahan yang turut laris adalah sotong, isi kerang, serta hati ayam sejuk beku, selain beberapa produk PKPS seperti sos tiram, sardin, sos tomato dan bihun.

Sementara itu, kontraktor, Suhairi Mat Jusoh, 46, mengakui sering menanti penganjuran JER bagi mendapatkan harga barangan asas berkualiti pada harga murah.

“Ini kali ketiga saya datang. Kalau ada peluang, memang saya akan datang membeli di sini kerana lebih jimat dan membantu ringankan beban,” katanya.

Bagi pekerja kilang, Suzira Mohd Zawawi, 44, berkata beliau sudah mengunjungi program JER lebih lima kali dan amat berpuas hati dengan kualiti produk dan harganya.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana anjurkan program seperti ini. Mana nak dapat telur sepapan pada harga hanya RM10. Hanya di sini sahaja yang ada.

“Saya harap program ini diteruskan sampai bila-bila kerana ia sangat membantu kami. Kalau dapat tambahkan kuantiti pun lebih baik supaya lebih ramai yang dapat membeli,” kata ibu lima anak.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

 

 

 


Pengarang :