SHAH ALAM, 10 SEPT: Pesta Buah-Buahan Tempatan Selangor yang berlangsung di SACC Mall, di sini meriah apabila lebih 5,000 pengunjung menyertainya sejak semalam.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan buah-buahan yang dibawa peniaga juga habis awal selepas mendapat permintaan tinggi dari orang ramai.
“Produk jualan untuk hari ini sudah habis sejak semalam menyebabkan mereka terpaksa menambah buah baharu bagi menampung keperluan ramai.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/MB2-1-1-500x315.jpg.webp)
“Ini penganjuran pertama yang dibuat di pusat beli-belah. Inisiatif ini dapat menarik lebih ramai pengunjung. Selalunya program dianjur di kebun seperti Selangor Fruit Valley,” katanya ketika melawat program berkenaan hari ini.
Terdahulu beliau meluang masa melawat reruai dan tapak pameran selain menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mengupas dan makan buah nanas.
Amirudin dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad turut berpeluang mengahwinkan pokok durian menerusi kaedah cantuman baji.
Sepanjang dua hari berlangsung, pesta bermula 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pelbagai program menarik antaranya kenal dan makan buah, kupas nangka dan teka berat buah.
Dianjurkan bersama Unit Perancang Ekonomi Selangor sempena Jelajah Agro Selangor, program turut menawarkan 3,000 kupon percuma bernilai RM20 untuk pengunjung terawal.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/MB10-1-1-500x354.jpg.webp)