Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat buah tembikai wangi (rock melon) ketika mengunjungi Pesta Buah-buahan Tempatan Negeri Selangor 2023 di SACC Mall pada 10 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buah negeri bantu promosi sektor pertanian, tarik petani moden

SHAH ALAM, 10 SEPT: Pesta Buah-Buahan Tempatan Selangor yang berlangsung ketika ini di SACC Mall, di sini menjadi platform untuk orang ramai menambah ilmu berkaitan bidang pertanian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program anjuran Jabatan Pertanian Negeri Selangor juga turut mendedahkan pengunjung dengan fungsi jabatan berkaitan.

“Secara tidak langsung ia menarik minat terutama golongan muda untuk menyertai sektor pertanian moden selain kita memperkenalkan industri kepada penduduk bandar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelbagai jenis buah ketika mengunjungi Pesta Buah-buahan Tempatan Negeri Selangor 2023 di SACC Mall pada 10 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Menerusi pameran di reruai, pelbagai info berkaitan pertanian disediakan. Orang awam mudah mengetahui bidang ini lebih dekat,” katanya ketika menghadiri program berkenaan.

Amirudin berkata pesta berlangsung dua hari sejak semalam juga turut mempromosikan buah khas negeri ini, Melon Selangor (MeloSel)

“Kita ada jenama buah sendiri dan wajar dibanggakan. Buah ini boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa selain tarikan kepada golongan muda untuk menjadi petani moden,” katanya.

Bermula 10 pagi hingga 10 malam, program menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya kenal dan makan buah, kupas nangka dan teka berat buah.

Dianjurkan bersama Unit Perancang Ekonomi Selangor sempena Jelajah Agro Selangor, program turut menawarkan 3,000 kupon percuma bernilai RM20 untuk pengunjung terawal.


Pengarang :