Gambar hiasan perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes bakar tahfiz, lelaki kekal di penjara selama perkenan Agong

SHAH ALAM, 11 SEPT: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni tahfiz enam tahun lalu kekal di penjara selama tempoh diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan sebulat suara tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais berkait kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, lapor Berita Harian.

Tertuduh yang berusia 16 tahun ketika kejadian tidak berdepan hukuman mati kerana bawah 18 tahun.

Pada 11 Mei, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah kebakaran itu berpunca lebih daripada seorang kerana mustahil untuk seorang remaja mengangkat dua tong gas seberat 28kg sekali gus.

Beliau menjelaskan satu tong gas diletakkan secara menegak dan satu lagi melintang sebelum petrol disimbah serta pemetik api dinyalakan di depan pintu pusat tahfiz berkenaan.

Pada 17 Ogos 2020, tertuduh yang kini berusia 22 tahun disabitkan Mahkamah Tinggi atas kesalahan membunuh dan diperintah supaya ditahan di penjara selama tempoh diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Dalam kejadian menyayat hati pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat berkenaan yang terbakar.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntuk pesalah bawah 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

 


Pengarang :