Warga kerja Invest Selangor Berhad melafazkan ikrar ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 25 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Akta Tatakelola diperkenal tangani rasuah dalam sektor awam, swasta

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan akan memperkenal Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan bebas rasuah untuk digunakan sektor awam mahupun swasta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga menyasar kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun, lapor Berita Harian.

“Selain daripada penambahbaikan aspek perundangan dan penguatkuasaan, kerajaan juga menekankan pengukuhan jati diri dan akhlak dalam diri setiap warganegara.

“Justeru, pentingnya pendidikan kesedaran antirasuah yang harus dikembangkan pada semua peringkat usia. Sementelahan, agenda mempromosi dan mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai murni demi membina sahsiah terpuji akan terus direkayasa,” katanya.

Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 hari ini, Anwar berkata Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam.

Beliau menjelaskan pasukan tersebut juga membantu menyelesaikan urusan tertangguh selain menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“STAR berjaya melaksanakan projek rintis mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu pesakit di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Tempoh kelulusan pas ekspatriat juga dikurangkan daripada 87 hari kepada lima hari untuk syarikat memenuhi kriteria dan kaedah bayaran tanpa tunai bagi menangani rasuah akan diperluas,” katanya.


Pengarang :