Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri Kinrara melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah di perkarangan Masjid Baitulamin, Subang Jaya pada 11 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 400 kunjungi JER DUN Kinrara, bekalan beras, telur habis kurang dua jam

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Hampir semua barangan Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri Kinrara di perkarangan Masjid Baitulamin di sini habis dalam tempoh kurang dua jam.

Pegawai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Muhammad Farid Mustafa berkata telur, beras dan ikan antara barangan yang menjadi tumpuan lebih 400 pengunjung hari ini.

“Bekalan yang kita bawa seperti biasa iaitu 500 ekor ayam, 200 papan telur, 72 botol minyak masak, 200 pek beras, 200 pek daging potong, 200 pek ikan jenis kembung, sardin, cencaru dan kerapu,” katanya.

Sementara itu, suri rumah Wan Wu Fong, 42, mengakui sering menanti penganjuran jualan berkenaan bagi mendapatkan harga barangan asas berkualiti pada harga murah.

Wan Wu Fong, 42,

“Saya sangat seronok hari ini kerana dapat datang sekali lagi beli barang-barang keperluan telur, ikan dan ayam.

“Jualan ini sangat membantu sebab harga sangat murah, tapi tak boleh beli banyak sebab nak bagi orang lain pun beli,” katanya.

Seorang pekerja swasta Theresa Chua, 45, turut tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan barangan dapur.

Theresa Chua, 45,

“Sudah banyak kali datang dan kebetulan lokasi hari ini dekat dengan tempat kerja, jadi saya ambil masa sikit untuk datang beli barang.

“Program ini sangat bagus kerana banyak bantu rakyat untuk berjimat, memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Manakala Raziman Ahmar, 35, turut mencadangkan agar jualan murah ini diperluas agar lebih ramai rakyat dapat merasai manfaatnya.

Raziman Ahmar, 35,

“Barangan seperti beras, telur, ayam memang keperluan asas dan ada yang masih tidak berkemampuan. Jadi jualan murah seperti ini dapat membantu mengurangkan beban mereka yang dalam kesempitan meneruskan kehidupan

“Macam saya hari ini alhamdulillah dapat beli barangan keperluan cukup untuk stok dua minggu, jadi dapatlah berjimat dan dapatlah simpan duit sebagai simpanan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri Kinrara melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah di erkarangan Masjid Baitulamin, Subang Jaya pada 11 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :