PETALING JAYA, 11 SEPT: Seramai 10,000 pengunjung disasar menyertai Ekspo Buku Petaling Jaya 2023 (PJBX2023) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sehingga 17 September ini.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan berkata sejak dianjurkan Sabtu lalu PJBX2023 merekodkan seramai 2,000 pengunjung.
“Tahun ini kita nampak trend kehadiran pengunjung sedikit berubah, PJBX sudah lebih dikenali ramai dan ada pengikut tersendiri dengan dua hari penganjuran kira-kira 2,000 pengunjung direkodkan.
“Ini memberi tanda baik kepada hasrat kita untuk menjadikan membaca sebagai wadah yang menjadi keperluan semua selaras Petaling Jaya sebagai Bandar Pembelajaran,” katanya selepas merasmikan PJBX2023 di Dewan Sivik MBPJ hari ini.
Aznan berkata sebanyak 40 penerbit menyertai ekspo berkenaan yang menjual pelbagai jenis dan genre buku termasuk ilmiah, novel, buku kanak-kanak dan ulangkaji.
“Tujuan ekspo ini antaranya sebagai galakan dan menyemai minat membaca dalam masyarakat selain memberi peluang kepada mereka membeli buku dengan harga lebih rendah daripada pasaran.
“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan bacar RM10 bagi pembelian RM20 ke atas,” katanya.
Katanya, PJBX yang antara lain mahu menerapkan pembelajaran sepanjang hayat disasar dilaksana dengan kerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) tahun depan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Dianjurkan bersama Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA) sebanyak 3,000 judul naskhah pelbagai genre ditawarkan sepanjang penganjuran PJBX2023.
Pelbagai kategori buku boleh didapati termasuk novel, fiksyen, agama, motivasi, kanak-kanak dan lain-lain turut menawarkan potongan harga istimewa lebih 80 peratus bagi koleksi buku terpilih.