Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Balakong di balai raya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Beras Ehsan PKPS laris di jualan murah, habis kurang sejam

SHAH ALAM, 12 SEPT: Beras Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) antara barangan paling laris di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik hari ini.

Penyelia Unit Jualan Muhammad Farid Mustafa berkata beras tempatan tersebut habis dijual dalam tempoh kurang sejam berikutan harga beras di pasaran kini agak mahal dan sukar didapati.

Penyelia Unit Jualan PKPS, Muhammad Farid Mustafa

“Bekalan yang kita bawa seperti biasa iaitu 500 ekor ayam, 200 papan telur, 72 botol minyak masak, 200 pek beras, 200 pek daging potong, 200 pek ikan jenis kembung, sardin, cencaru dan kerapu.

“Namun, beras antara barangan paling cepat habis. Kita mohon maaf kepada pengunjung yang tidak berkesempatan membeli beras, insya-Allah kita cuba sedaya upaya untuk memenuhi kemahuan penduduk,” katanya.

Beliau ditemui pada program yang berlangsung di tapak badminton, Blok 7, Jalan Plumbum 7/95 di sini.

Norlaily Abd Aziz

Suri rumah, Norlaily Abd Aziz, 59, mengakui sering menyemak media sosial PKPS untuk mengetahui lokasi JER berhampiran bagi mendapatkan barangan asas pada harga murah.

“Saya tinggal di Seksyen 18, sebelum ini kerap pergi ke Wisma PKPS untuk beli ayam tetapi sekarang harga di situ sudah tidak sama seperti di JER ayam seekor RM10, sebab itu saya mencari JER.

Nurfaishal Rosdi

“Saya harap PKPS kekalkan harga ayam di Seksyen 14 supaya memudahkan orang ramai tidak perlu bersesak pergi JER lagi selepas ini,” katanya.

Manakala, juruteknik, Mohd Nurfaishal Rosdi, 40, yang pertama kali berkunjung ke JER memuji barangan yang ditawar amat murah dan berkualiti.

“Cuma saya cadangkan adalah lebih baik sekiranya pihak JMB (badan pengurusan bersama) pangsapuri di sini bekerjasama dengan PKPS untuk melihat berapa ramai isi rumah di sesebuah kawasan.

Alina Mohd Sari

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya semua yang datang dapat barangan yang mereka mahu beli. Tidaklah nanti ada yang tunggu lama tetapi apabila tiba giliran barang habis,” katanya.

Alina Mohd Sari, 58, pula mengakui kerap berkunjung ke JER kerana mahu mencari barangan perniagaan nasi lemak yang diusahakannya sejak dahulu.

“Apabila beli bahan di JER memang sangat jimat dan balik modal. Saya cadang pihak PKPS tidak menghadkan dan menambah lagi barangan jualan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).


Pengarang :