Orang ramai memenuhi ruang pameran kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 Septembar 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembangunan semula Lapangan Terbang Subang tarik pelaburan aeroangkasa

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang adalah penting untuk menarik pelaburan di Selangor khususnya bagi sektor aeroangkasa dan penerbangan dapat terus berkembang, selaras dengan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030 dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Exco Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Zhe Han berkata projek pembangunan semula LTSAAS yang dibentang dalam usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam amat disokong kerajaan negeri.

Beliau berkata pentadbiran negeri juga akan terus menyokong usaha Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi mempromosikan dan menyelaras penyertaan syarikat-syarikat berkaitan yang berminat untuk menjadikan LTSAAS sebagai hab mereka.

“Invest Selangor Bhd selaku agensi pelaburan kerajaan negeri akan turut memberikan khidmat kemudahan kepada para pelabur yang berminat untuk melabur di sini dan akan membantu MAHB mempromosikan projek itu kepada pelabur-pelabur yang berpotensi,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya pembentangan Perdana Menteri semalam yang menyentuh tentang pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau.

Menurut Ng, kerajaan negeri melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 telah mengenal pasti projek Zon Ekonomi Khas di kawasan berdekatan bagi menyokong pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey untuk melengkapi ekosistem bagi semua kegiatan ekonomi berkaitan logistik.

“Secara keseluruhan, Selangor bersedia untuk menyahut peluang-peluang pelaburan dan memperkasakan ekosistem mobiliti di negeri ini selaras dengan Kajian Separuh Penggal RMK12 supaya Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar ekonomi Malaysia untuk tempoh mendatang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :