Nur Syuhadah Aspar menunjukkan produk Pa’man di Selangor Pavillion ketika di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Transaksi padanan niaga Promosi Halal Selangor dijangka meningkat hingga 15 peratus

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Padanan perniagaan Promosi Halal Selangor di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) kali ini menyasarkan peningkatan transaksi 10 hingga 15 peratus berbanding tahun lepas.

Ketua pegawai operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI percaya unjuran itu mampu dicapai berdasarkan pertambahan pempamer selain permintaan terhadap industri halal kian meningkat.

“Tahun lepas rekod pencapaian (Promosi Halal Selangor) daripada segi transaksi padanan perniagaan adalah RM55.73 juta dan kita jangka bertambah 10 hingga 15 peratus tahun ini.

Sekitar Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sasaran ini munasabah untuk dicapai Pavilion Selangor sebab kalau dilihat kesedaran masyarakat semakin meningkat. Begitu juga daripada segi pempamer bertambah 24 peratus dan tiada lagi kekangan perjalanan,” kata Saipolyazan M Yusop.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Pavilion Selangor di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini semalam, yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Saipolyazan menambah pihaknya menerusi HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) menyediakan 23 reruai kepada pempamer terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anak syarikat MBI dan syarikat yang bertapak di Selangor.

Menurut beliau, syarikat berkenaan terlibat dalam sektor makanan dan minuman, logistik dan pergudangan, bahan ramuan, kosmetik dan dandanan diri serta institusi pendidikan dan media.

Sekitar Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 12 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Di sini menemukan daripada segi penyelidik, pengeluar hingga pemasaran. Dengan semua ekosistem tersebut, kita harap dapat meningkatkan jualan produk selain padanan perniagaan,” katanya.

Dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan dianjurkan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mihas menampilkan trend, teknologi dan inovasi terkini meliputi 13 kluster industri halal.

Pameran berlangsung empat hari hingga 15 September secara fizikal dan platform dalam talian yang boleh diakses 24 jam sehari.


Pengarang :