Peserta membuat pemeriksaan kesihatan menerusi program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program saringan kesihatan percuma di tiga lokasi mulai Jumaat

SHAH ALAM, 13 SEPT: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Selangor yang dilaksanakan mulai tahun lalu akan diteruskan di tiga lokasi minggu ini, maklum EXCO kesihatan.

Jamaliah Jamaluddin berkata lokasi pertama Selangor Saring dijadual berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat (15 September).

Beliau memaklumkan program sama turut diadakan di pekarangan Madrasah Al-Ikhlas SS3/47, Petaling Jaya pada 16 September manakala keesokannya di Dewan MPKK Kampung Kuala Ampang, Ampang.

“Program hanya libatkan pemeriksaan fizikal, darah dan air kencing. Pada Jumaat, program bermula 8 pagi hingga 4 petang dan esoknya 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Hari Ahad pula dari 8 pagi hingga 2 petang,” katanya memaklumkan beberapa penambahbaikan bakal dibuat dalam penganjuran tahun depan bagi memastikan lebih banyak manfaat diterima peserta.

Selangor Saring diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal, terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Membabitkan kos RM3.4 juta yang ditanggung sepenuhnya pentadbiran negeri, peserta boleh menjalani saringan air kencing, mata, barah pangkal rahim, payu dara dan prostat serta ujian darah.

Skim tersebut ditambah baik tahun ini dengan beberapa lagi khidmat saringan disediakan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.


Pengarang :