Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengedarkan Jalur Gemilang di tempat tumpuan orang awam sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia. Foto Facebook Muhammad Ikram Marozan
AGENDANASIONAL

Pelajar UPM agih 1,000 Jalur Gemilang, bangkit semangat patriotik

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Lebih 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengedarkan lebih 1,000 Jalur Gemilang di tempat tumpuan orang awam di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM Umairah Farisah Ahmad Yuzri berkata bendera itu akan diagihkan di lokasi seperti Masjid Jamek dan Bukit Bintang, sambil pelajar berkenaan menyampaikan mesej berunsur perpaduan dan menyanyikan lagu patriotik seperti ‘Jalur Gemilang’, ‘Inilah Barisan Kita’, ‘Saya Anak Malaysia’ dan ‘Warisan’.

“Inisiatif ini bertujuan membangkitkan semangat patriotik serta memupuk ikatan perpaduan dalam kalangan pelajar daripada pelbagai jurusan pengajian dan latar belakang,” katanya kepada Bernama.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengedarkan Jalur Gemilang di tempat tumpuan orang awam sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia. Foto Facebook Muhammad Ikram Marozan

Mengenai signifikan sambutan Hari Malaysia dalam kalangan pelajar universiti, beliau berkata kepentingan golongan mahasiswa dan belia dalam mencorakkan masa depan negara tidak boleh dipandang enteng meskipun mereka lahir selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Mahasiswa sangat penting dalam pembangunan negara. Mereka mampu memberikan sumbangan dengan menjadi pelajar yang berpengetahuan, berinovasi dan bertanggungjawab terhadap kemajuan serta keharmonian masyarakat.

“Sambutan Hari Malaysia dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat dan mengingatkan bahawa kita adalah sebahagian daripada negara ini. Justeru, jadilah insan yang boleh menyumbang tenaga, masa dan akal fikiran untuk negara tercinta,” kata pelajar semester empat Bacelor Sains Biokimia itu.

Sambutan Hari Malaysia 2023 dengan tema sama seperti Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Hari Malaysia disambut bagi memperingati pembentukan Malaysia antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang berlaku pada 16 Sept 1963.

– BERNAMA


Pengarang :