Pertandingan Tenpin Bowling Penggerak Belia Selangor (PEBS) XTIV di Sunway Megalanes, Sunway Shopping Mall, Petaling Jaya pada 14 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Program belia negeri ditambah baik seiring visi, dasar baharu KBS

SHAH ALAM, 13 SEPT: Program Penggerak Belia Selangor (PeBS) diteruskan dan ditambah baik mengikut kesesuaian masa kini, kata EXCO belia.

Mohd Najwan Halimi berkata penambahbaikan itu meliputi semua aspek supaya seiring dengan visi dan dasar baharu Kementerian Belia dan Sukan.

“PeBS antara program yang bertapak lama sejak 2009 dan ketika itu Dato’ Menteri Besar merupakan EXCO belia. Kita tetap akan teruskan dengan penambahbaikan dan mengikut kesesuaian sekarang.

Penggerak Belia Selangor (PeBS) mengagihkan 950 bungkus makanan kepada penduduk Kampung Permata, Kundang dan Kampung Gombak, Kuang yang terkesan dengan banjir pada 9 Mac 2022. Foto Ihsan PeBS

“Belia pada masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan program dan aktiviti demi memperkasakan golongan tersebut,” katanya dihubungi Selangorkini.

Menurut Mohd Najwan, antara agenda permulaan ialah mengembalikan program rakan muda yang dilancar semula Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Jun lalu.

“Kita sahut inisiatif ini dan akan membantu kerana buat masa ini sambutan diterima kurang memberangsangkan. Kita akan banti jayakan agenda Kerajaan Perpaduan ini dengan menarik seramai anak muda sertai program rakan muda,” ujarnya.

PeBS dijenamaan semula pada 2021 dari Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan sebagai ejen penggerak kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Undangan Negeri.


Pengarang :