Buku Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya antara buku terbaharu terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang mengenang suka-duka zaman awal pembentukan negara dan peristiwa darurat.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Buku terjemahan IBDE kupas azab perang, darurat sebelum merdeka

Semua bangsa ingin mengecap kebebasan dan menentukan nasib sendiri walau selama mana harus memperjuangkannya. Begitu juga Malaysia, negara bangsa muda yang terbentuk genap 60 tahun lalu.

Negara ini melalui pelbagai fasa suka duka sebelum Persekutuan Tanah Melayu mengecap nikmat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Enam tahun kemudian, bangsa merdeka ini mengajak Sabah dan Sarawak sama-sama bebas menentukan masa depan bersama.

Namun, kebebasan tidak datang dengan mudah dan murah. Pendudukan Jepun selama hampir empat tahun mulai hujung 1941 mendatang pelbagai malapetaka dan sengsara. Walau kuasa asing itu pergi pada 1945, penjajah kembali menguasai.

Negara kemudiannya berdepan zaman darurat selama 12 tahun mulai 1948. Perang dengan gerila komunis ini muncul di pentas Perang Dingin, era kuasa Barat bertembung Timur selepas Perang Dunia Kedua.

Untuk mengenang suka-duka zaman awal pembentukan negara, Kerajaan Negeri membiayai projek terjemahan beberapa buku penting zaman tersebut. Projek ini dijayakan melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penerbit terkenal yang menterjemah lebih 70 buah buku penting sejak 2016.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Selangorkini mengulas ringkas empat karya penting termasuk tiga buku zaman darurat. Dua daripadanya sudah diterbitkan, sementara sebuah lagi akan menemui pembaca tahun depan.

Keempat-empat buku ini pasti membuka mata kita dan memberi makna mendalam apa itu kebebasan dan kemerdekaan. Buku ini juga pasti membuka rahsia atau petunjuk bagaimana boleh tercapainya kemerdekaan 1957.

Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945-1960 (terbit 2024)

Diterjemah oleh Razan Rose dan Omar Husain, buku ini siap pada tahap 70 peratus. Kulit buku belum dimuktamadkan lagi. Naskhah terjemahan dijangka terbit sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun depan.

Judul asalnya Malaya’s Secret Police, 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency, karangan Leon Comber, menceritakan sejarah pembentukan pasukan Cawangan Khas (SB), taktik dan selok-belok operasi risikan dan pasukan keselamatan berdepan komunis.

Kecekapan tentera British berjaya menurunkan jumlah pertempuran secara mendadak sebanyak enam kali ganda pada 1954 berbanding empat tahun sebelumnya.

Penyusunan 450 perkampungan baharu pula berjaya memutuskan bekalan makanan dan menyukarkan komunikasi tentera Parti Komunis Malaya (PKM), lalu mereka beralih kegiatan dari bandar ke hutan hingga darurat berakhir pada 1960.

“Kita ingin memberitahu sumbangan dan jasa peranan cawangan khas yang mencegah ancaman komunis. Ia bukan satu intipan biasa. Kita juga nak beritahu pentingnya jaringan keselamatan untuk kepentingan negara,” kata penyelaras projek IBDE Abdullah Hussaini Mohd Ghazali.

Dengan menyemak dokumen sulit termasuk di Britain, Leon melaporkan angka rasmi yang terbunuh, menyerah diri, cedera dan hilang dalam kalangan gerila, polis dan orang awam dalam darurat 12 tahun adalah seramai 19,797 orang.

Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya (2023)

Komando Inggeris F Spencer Chapman menulis tentang pengalaman dirinya sepanjang pendudukan Jepun, memperinci taktik dan teknik sabotajnya bersama gerila komunis, dibantu Melayu dan Orang Asli, dalam belantara Tanah Melayu.

Terbit pada 1948, judul asal The Jungle is Neutral turut menceritakan banyak babak cemas, mengejutkan dan mendebarkan ketika diburu, dikepung dan ditahan askar Jepun di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan antara 1941 hingga 1945.

Selain menyiarkan foto kampung dan peta pergerakan pasukannya, Tanpa Ampun banyak mengajar ikhtiar hidup. Beliau juga merakam flora dan fauna sewaktu bergerak di hutan, termasuk diserang pacat dan nyamuk. Chapman bertarung nyawa dan coretannya hasil pertarungan itu dalam buku memuatkan 20 bab.

Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 (2020)

Karya ini adalah terjemahan The War of the Running Dogs: How Malaya Defeated the Communist Guerrillas, 1948-60, yang ditulis oleh wartawan Noel Barber.

Karya ini mempunyai 24 bab daripada tiga fasa: komunis mengganas, mematahkan serangan dan jalan kemenangan. Beliau turut menceritakan saat-saat getir sejak awal darurat diumumkan.

Turut dikisahkan penderitaan pekerja ladang, penduduk kampung, tentera dan anggota keselamatan. Ribuan nyawa terkorban. Malah persaudaraan boleh berakhir di hujung senjata.

Contoh, bagaimana tokoh komunis Abdullah CD diserang sepupunya sendiri Yeop Mahidin di Temerloh dan kecintaan Sir Henry Gurney pada isterinya di hujung nyawa saat ditembak di Hulu Selangor sungguh menggugah perasaan.

Bintang Merah di Langit Malaya (2022)

Buku ini terjemahan Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation, 1941-1946.

Dibahagikan kepada dua jilid, kajian Dr Cheah Boon Kheng itu cukup jelas menunjukkan ancaman komunis yang makin lantang membuat tuntutan apabila mereka dibenar bergerak bebas selepas Jepun menyerah kalah.

Jilid 1 menghuraikan masyarakat pelbagai kaum menjelang penjajahan Jepun, kesan perang tersebut dan peranan PKM serta gerakan anti-Jepun. Ia juga menceritakan kebangkitan semangat merdeka dalam kalangan penduduk Melayu.

Jilid 2 pula menjelaskan suasana kacau selepas Jepun berundur, keganasan akibat kelompongan kuasa, penolakan komunis terhadap pentadbiran Inggeris dan pertikaian Melayu terhadap kuasa Barat itu.


Pengarang :