Graduan Universiti Selangor (Unisel) sempena istiadat konvokesyen ke-17 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Unisel sasar kedudukan 100 teratas bagi penarafan kampus lestari

SHAH ALAM, 14 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) menyasar kedudukan 100 teratas dalam tempoh tiga tahun untuk penarafan kampus lestari atau UI-GreenMetric di peringkat global.

Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata universiti milik Kerajaan Negeri itu berada pada kedudukan ke-337 tahun lalu, berbanding 424 pada tahun sebelumnya.

“Kampus Unisel Bestari Jaya yang sebelum ini umpama padang pasir yang tidak terurus, kini sudah boleh dibanggakan sebagai sebuah Kampus Dalam Taman.

“Oleh itu, dalam tempoh tiga tahun, Unisel berhasrat untuk menjadi 100 kampus terbaik di peringkat global sebagai kampus hijau,” ucapnya pada majlis makan malam Yayasan Unisel di sini malam tadi.

Beliau menambah universiti itu juga menunjukkan kemajuan saban tahun dengan pencapaian terbaharu di tangga ke-15 daripada 306 insititusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara.

Dr Mohammad Redzuan menjelaskan kedudukan itu hasil kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 95.7 peratus atau 1,779 orang tahun lalu, lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.

“Walaupun berada di tangga ke-15, namun jika dibandingkan dengan IPTS yang berada di tangga ke-14, jumlah graduan yang dihasilkan mereka hanyalah 24 orang,” katanya.

Untuk rekod, penarafan kampus lestari meliputi skop infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.


Pengarang :