SHAH ALAM, 14 SEPT: Usahawan wanita harus didedahkan dengan kepelbagaian akses ekonomi berteknologi tinggi bagi membantu mereka berjaya dalam perniagaan.
Isteri Dato’ Menteri Besar berkata menerusi pemerkasaan sektor digital, kualiti hidup golongan berkenaan mampu dipertingkat selaras dengan sasaran negara yang mahu wanita berdaya saing.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/PSX_20230914_132526-500x333.jpg.webp)
“Wanita mesti dididik dengan pendidikan keusahawanan secara berterusan bagi merapatkan jurang perbezaaan jantina memandangkan lelaki dilihat lebih berjaya dalam bidang ini.
“Bagi pentadbiran negeri, pelbagai program dilaksana untuk menaikkan kualiti usahawan dan memastikan mereka mampu mentadbir urus syarikat dengan baik,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.
Berucap merasmikan program keusahawan Createpreneur di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini, Masdiana turut menyeru wanita supaya memanfaatkan peluang termasuk bantuan kewangan dan kursus keusahawanan.
“Banyak bantuan disediakan kerajaan malah pihak bank juga menyalurkan inisiatif kewangan sosial berupa pinjaman jangka pendek dan jangka panjang bagi memulakan perniagaan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/PSX_20230914_132557-500x333.jpg.webp)
Program anjuran Akademi Perindustrian Kecil Sederhana dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (Masmed) UiTM menghimpunkan lebih 20 peniaga.
Berkonsepkan ‘Kami Ajar, Anda Jual’, ia berlangsung sepanjang tahun ini dengan satu program diadakan setiap bulan bagi menerap minda keusahawanan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/PSX_20230914_132959-500x333.jpg.webp)