EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap ketika majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jadikan masjid pusat penyatuan, hidupkan peranan khaira ummah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pentadbir masjid diharap memainkan peranan sebagai khaira ummah sekali gus menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat penyatuan masyarakat.

EXCO Agama Islam berkata tugas pentadbir menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran termasuk menghentikan perbalahan serta fitnah dalam masyarakat.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap ketika majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pentadbir masjid juga perlu menzahirkan sifat mahmudah agar menjadi contoh yang baik dengan menzahirkan kelakuan baik sebagai tabiat harian dan sentiasa betulkan niat agar keikhlasan dapat dipupuk dan diredai Allah.

“Jadikan masjid berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah menerusi penerapan ilmu dan kefahaman agar umat Islam menjadi umat yang berfikiran terbuka berlandaskan syarak,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Negeri di sini, hari ini.

Bertemakan Mendominasi Kebaikan dan Mencegah Kemungkaran, konvensyen berkenaan dihadiri lebih 300 peserta dari kalangan imam, nazir, bilal, siak dan kakitangan masjid seluruh daerah Petaling.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad bergambar bersama peserta selepas majlis penutup Konvensyen Merealisasi Khaira Ummah Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Negeri, Shah Alam pada 14 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dr Mohammad Fahmi turut mengingatkan pentadbir masjid agar untuk sentiasa peka dengan perkembangan isu semasa dan sentiasa bersedia membantu agensi agama menyampaikan kebaikan dan mencegah fitnah.

“Pegawai masjid harus melaksanakan pentadbiran masjid dengan penuh ikhlas serta memastikan rumah Allah selesa digunakan untuk beribadat.

“Ini adalah amanah dan tugasan yang perlu dikongsi bersama anggota masyarakat, untuk memupuk kesatuan ummah yang akan memangkin kewujudan khaira ummah yang diidamkan,” katanya.


Pengarang :